Search
Search
Ada sesuatu dalam kuarters rumah guru

Ada sesuatu dalam kuarters rumah guru

BERTUGAS malam sebagai seorang pengawal keselamatan sudah menjadi kebiasan buat Manan.

Alah bisa tegal biasa, sebelum Manan di tukarkan ke sekolah baru ini pun dia sudah acap kali di tugaskan pada waktu malam, menggantikan rakan-rakan yang mempunyai pelbagai masalah. Alhamdulillah, Manan jarang dilanda musibah.

“Manan, malam besok boleh kau tolong gantikan aku bertugas malam,” Masih terngiang-ngiang suara Jamil meminta bantuan dari manan.

”Kenapa?” ringkas dan padat jawapan berbentuk soalan dari Manan, dia inginkan kepastian.

“Anak aku yang bongsu tu, demam panas dari semalam, hari ni pun isteri aku call badan anak aku masih panas,” ada nada risau pada baris-baris bicara Jamil.

“Masyallah, bahaya tu Jamil..tak apa aku gantikan, kau jangan susah hati yer Jamil.”

“Terima kasih Manan.” Jamil tersenyum kelat antara gembira juga kerisauan.

“Sama-sama Jamil.”

Tubuh Manan kesejukkan, sejuk benar rasanya malam ini. Lain dari malam-malam sebelumnya. Pada fikiran Manan mungkin kesejukkan pada malam ini disebabkan hujan yang telah turun petang tadi.

“Eh, kau tugas ke malam ni Manan?” Manan sedikit terperanjat dengan teguran dari rakan setugasnya.

“Kau Leman, bagi la salam, teperanjat aku.”

“Ala kau ni, sikit-sikit pun terperanjat.”

“Mesti la kau datang tiba-tiba jer, entah dari mana.”

“Mana Jamil? Hairan aku dari tadi tak nampak bayang pun si Jamil ni” Leman duduk bersebelahan dengan Manan.

“Aku ganti dia malam ni.”

“Aik..kenapa pulak dengan si Jamil tu.”

“Anak dia demam panas.”

“Oh..Jamil pun satu, tak maklum apa-apa pun semalam.”

“Mungkin dia terlupa agaknya.” Manan meyakinkan Leman.

Perbualan mereka terhenti apabila ada pelawat yang ingin melawat staf sekolah yang mendiami rumah guru yang berada dalam kawasan sekolah.

Rumah guru yang dilihat Manan sebagai rumah lama dengan seni bina lama. Mengikut kata Leman, rumah guru sekolah ni memang sudah lama di bina cuma ditambah baik dari dinding papan kepada dinding konkrit.

Ada empat buah semuanya siap berpagar. Dua berpenghuni dan dua lagi tiada penghuni, gelap dan suram sahaja.

“Encik boleh masuk.” Leman membenarkan pelawat tadi masuk kekawasan sekolah setelah dia berpuas hati dengan penjelasan pelawat untuk bertemu dengan staf sekolah yang mendiami rumah guru.

“Manan! Kau nak tahu tak?” Leman kembali duduk disebelah Manan.

“Tahu apa?” Manan berhenti menulis buku laporan pelawat.

“Rumah guru tu ada penunggunya.” ah sudah si Leman ni, nak melawak tunggu la waktu siang, ngumam Manan dalam hati.

“Mengarut lah kau ni”

“Betul Manan, kau tengok rumah guru yang hujung sekali, rumah tu siapa pun tak boleh duduk tau.” Manan menoleh melihat rumah guru yang berada tidak jauh dari pondok pengawal. Seram pulak rasanya.

“Kenapa pulak tak boleh duduk?” Manan semakin ingin tahu, Leman sudah lima tahun bertugas di sekolah ini. Dia lebih tahu selok belok dan juga cerita-cerita mistik yang terdapat disekolah yang dikelilingi ladang kelapa sawit.

“Kau nak tahu ker?” duga Leman.

“Mestilah.” Manan bersungguh-sungguh ingin mengetahui kisah rumah guru yang dikatakan Leman.

“Lima tahun lepas, waktu tu aku baru mula bertugas di sini, dulu tinggal ada sepasang guru dan dua orang anak, yang si suami mengajar di sekolah ni, si isteri mengajar di sekolah rendah sebelah tu.”

Leman memuncungkan bibirnya ke arah sekolah rendah yang bersebelah dengan sekolah mereka bertugas.

“Suatu pagi tu kecoh satu sekolah si isteri dah bunuh dua anak mereka” Leman menyambung.

“Apa? betul ke ni Leman, kau nak usik aku kan?” Manan sedikit teperanjat.

“Apa pulak aku nak mengusik kau, kau tahu siapa yang jumpa mayat anak-anak cikgu tu?”

“Siapa?” Manan sepontan bertanya.

“Aku!” tegas suara Leman, Manan terlopong.

“Pagi tu aku bertugas macam biasa, aku ronda kawasan belakang rumah guru, tiba-tiba aku dengar tangisan seseorang dalam rumah guru yang hujung tu” Leman menyambung, kali ini nada suara Leman sedikit pelahan.

“Aku tinjau melalui tingkap dapur yang sedikit terbuka….” Leman terdiam, Manan juga diam, tidak mahu mengganggu Leman seperti mengingati semula tragedi lima tahun lalu.

“Aku nampak, si isteri memeluk dua anaknya yang berlumuran darah, terkedu aku, tangisan pilu seorang ibu.” Leman menarik nafas dalam-dalam.

“Kenapa sanggup ibu tu bunuh anak dia?” Manan tak puas hati sanggup seorang ibu membunuh anak yang dikandungnya.

“Entahlah Manan, pihak polis kata, si isteri tertekan, anak-anak menangis kelaparan, sebak juga la pihak polis bila tengok di dapur tiada makanan langsung dengan peti sejuk kosong, kemungkinan si ibu terlampau tertekan terus mengelar ke dua orang anaknya supaya diam atau tidur.”

“Mustahil tiada makanan, kerja seorang guru lagi tu, gaji lebih dari kita” Manan geram.

“Dengar cerita lagi si suami banyak berhutang, sampai menggunakan gaji si isteri untuk membayar hutang-hutang si suami.” Leman juga kesal.

“Itulah sebabnya suka berhutang, jadi kenapa rumah tu tak boleh duduk?” Manan mengaju pertanyaan.

“Rumah tu ada gangguan, selalu orang dengar tangisan anak beranak yang cukup sayu, sampaikan jiran sebelah pun tak boleh duduk tau.”

Leman melihat jam di tangan. “Eh, dah pukul 12, giliran kau rondakan?” Leman bersuara.

“Yer, khusyuk pulak aku dengar kisah kau ni, aku gerak dulu.” Manan bangun dari duduknya, dia mencapai walkie talkie, lampu suluh dan bag jam yang digalas di bahu.

Leman hanya memerhati tingkah laku rakan barunya. Manan baru dua minggu bertukar tempat bertugas, sebelum ini Manan bertugas di sekolah dalam pekan.

Manan telah melewati kunci yang keempat, dia baru sahaja selesai mengunci pada jam yang dibawa menandakan Manan sudah meronda kawasan tersebut.

Masih ada dua lagi kunci yang perlu Leman sudahkan. Baru sahaja Manan ingin melangkah menuju bangunan yang berada berhampiran padang,

Manan ternampak rumah guru yang diceritakan oleh Leman tadi terpasang. Dari bangunan ini Manan boleh melihat pondok kawalan dan juga deretan rumah guru.

“Siapa pula yang berada dalam rumah tu” Manan berkira-kira sendiri mahu melihat apa yang berlaku.

Tidak sampai lima minit berjalan, Manan sudah berada di bahagian belakang rumah guru tadi.

“Abang nak kemana ni?” telinga Leman menacap satu suara perempuan dari dalam rumah.

“Aku nak keluar, kau jangan banyak tanya boleh tak?” kedengaran suara lelaki menengking.

“Abang, barang-barang dapur dah habis”

Manan masih lagi menumpukan pada perbualan yang berlaku dalam rumah, Manan mendiamkan diri takut nanti kehadirannya di ketahui.

“Aku tak ada duit, kau pergi cari sendiri barang-barang dapur tu.”

Manan terdengar pintu rumah dihempas keras, barang kali si lelaki tadi sudah keluar.

“Mak, adik lapar….” terdengar pula suara anak kecil merengek.

“Sabar yer sayang, nanti mak sediakan makanan”

Manan mendengus, Kurang asam betul si Leman ni, katanya tiada orang yang menghuni rumah ni.

Tanpa ingin mengintai atau melihat ke dalam rumah, Manan melangkahkan kakinya untuk meneruskan tugasan yang masih bersisa.

“Suka sangat mengusik orang si Leman ni, nanti kau.” Manan masih lagi mengumam sambil berjalan menuju bangunan yang berada di hujung padang sekolah.

Belum sempat Manan melangkah lebih jauh, Manan terdengar suara tangisan dari rumah tadi. Manan menoleh melihat rumah tadi, Manan kehairanan lampu rumah yang terang benderang tadi kini kelihatan gelap gelita.

“Eh kenapa pulak tu?” Manan berlari anak untuk cepat sampai ke rumah tersebut.

Kedengaran suara perempuan menangis mendayu-dayu. Manan cepat-cepat mencari celah-celah tingkap yang terbuka untuk melihat apa yang terjadi.

Dalam kekalutan Manan mencari itu dia tersentuh daun pintu dapur dan pintu terbuka. Keadaan dalam rumah yang gelap hanya diterangi cahaya malap dari lampu jalan di luar rumah, dengan bau yang sangat meloyakan.

Manan gagahi masuk kedalam rumah untuk memastikan keadaan penghuni rumah.

Lampu suluh yang ada bersama dinyalakan namun nasib Manan tidak baik kali ini, berkali-kali dia cuba menyalakan lampu suluh tapi tidak berjaya.

Tangisan tadi sudah berhenti, bulu roma Manan menegak dengan tiba-tiba.

“Kenapa aku rasa lain macam saja ni” dengan bantuan lampu jalan dari luar yang menerjah masuk melalui tingkap dapur dan ruang tamu, Manan melihat sekeliling rumah yang berbalam.

Kelihatan keadaan rumah seperti sudah lama tidak berpenghuni. “Ah sudah, biar betul rumah ni” Seram pulak Manan rasa.

“Lebih baik aku keluar saja” Manan mula rasa menyesal masuk ke dalam rumah, tapi niat Manan terhenti bila dia terdengar kembali tagisan yang mendayu-dayu betul-betul datang dari bilik berdekatan ruang dapur.

Dengan bantuan cahaya yang berbalam tadi, Manan perlahan-lahan membuka pintu bilik tersebut. Semakin lama semakin dekat suara tersebut. Bila sahaja pintu terkuak alangkah terperanjatnya Manan.

“Astafirullah…” terpacul kalimah Allah dari bibir Manan, melihat sesusuk tubuh berbaju kusam yang wajahnya ditutupi dengan rambut yang merebang panjang. Wajah?…mana ada wajah…

“Kau setan” Menjerit Manan, namun makhluk tanpa wajah itu kelihatan semakin mendekat dengan Manan. Manan tanpa berlenggah mengatur langkah seribu menjerit tidak tentu arah.

“Manan bangun!” Leman mengejutkan Manan yang meracau-racau tidak tentu arah.

“Kau setan!” Manan terjerit-jerit, melampau benar Manan ni, tidur di waktu senja macam ni. Ngumam Leman.

Leman dengan pantas mencapai botol air minuman dan menuangkannya air ke tapak tangan seraya merenjis ke muka Manan. Manan terus sahaja bangun dari tidurnya.

“Kau ni, tidur waktu rembang senja, mengigau.”

“Yer ker?” Manan mengaru-garu kepala, mimpi rupanya. “Aku letak kejap jer kepala tadi”

Leman hanya tersenyum, dia menggeleng-gelengkan kepala, Manan ni kira hebat juga duduk atas kerusi pun boleh terlena.

“Yer lah tu”

“Manan kau nak tahu tak?”

“Tahu apa?”

“Rumah guru tu ada penunggunya” Leman memuncungkan mulutnya kearah rumah guru yang berada berdekatan dengan pondok pengawal keselamatan.

Tiba-tiba ayat yang pernah Manan dengar terpacul dari mulut Leman, biar betul ni. Ya dalam mimpi tadi.

Sumber: https://mediapermata.com.bn/

Kelawar