Search
Search
Lembaga hitam bermata merah di hospital

Lembaga hitam bermata merah di hospital

Suasana suram ketika berkunjung ke hospital pada waktu malam pastinya membuatkan sesiapa sahaja membayangkan pelbagai kisah seram yang mungkin pernah berlaku di situ.

Jika tidak mengalami sendiri, pasti ada di antara kita yang pernah mendengar 1,001 kisah seram daripada pengalaman orang lain sekaligus membuatkan hospital cukup sinonim dengan perkara paranormal.

Seperti lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad Zairi, dia sendiri sudah banyak kali mendengar pelbagai kisah seram yang berlaku di hospital namun tidak pernah menyangka dia sendiri akan mengalaminya.

“Hospital adalah tempat paling jarang saya kunjungi malah kalau boleh ingin elakkan. Tetapi takdir telah menyebabkan saya dimasukkan ke hospital selepas mengalami kemalangan jalan raya.

“Kaki saya patah selain mengalami pendarahan kecil di kepala disebabkan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal,” katanya.

Menceritakan kejadian itu, Ahmad Zairi berkata, dia langsung tidak ingat tentang kejadian kemalangan itu mungkin disebabkan trauma akibat hentakan kuat di kepala sehingga dia tidak mempunyai memori siapa datang melawatnya di wad ketika itu.

“Ketika di dalam wad saya sudah sedar tetapi saya tidak ingat apa berlaku, siapa datang melawat… Ingatan saya mengenai kejadian hanya kembali pulih selepas saya dibenarkan keluar hospital,” katanya.

Bagaimanapun kata Ahmad Zairi, beberapa kejadian pelik berlaku kepadanya sepanjang berada di wad dan perkara itu diceritakan kembali oleh keluarga dan rakan-rakan yang melawatnya di hospital.

Ceritanya, ada seorang kenalan yang melawatnya menceritakan dia sering bercakap sendirian sehingga membuatkan rakanya itu ketakutan melihat keadaannya.

“Apabila mereka tegur, saya beritahu yang saya sedang berbual dengan seorang lelaki tua. Paling menyeramkan seorang jururawat bertugas pula memaklumkan pada rakan saya lelaki tua yang dimaksudkan pernah dimasukkan ke wad sama namun sudah meninggal dunia seminggu sebelum itu.

“Saya agak terkejut apabila rakan beritahu perkara itu kerana saya langsung tidak ingat dan tiada memori mengenai apa berlaku sepanjang di wad,” ujarnya.

Bagaimanapun kisah itu tidak terhenti di situ apabila dia sekali lagi dimasukkan ke hospital selepas tulang kakinya yang patah masih tidak bersambung dan doktor mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan kedua bagi membetulkan struktur tulangnya.

“Kali ini saya ditempatkan di wad yang arwah bapa pernah masuk suatu ketika dahulu. Wad ini juga dikatakan agak ‘keras’ kerana kerap berlaku gangguan misitk.

“Katil saya berhadapan dengan seorang lelaki tua dan nampak dia sedang tidur nyenyak… Ketika seorang jururawat datang untuk mengambil darah, saya sempat bertanya mengenai lelaki tua itu.

“Tetapi jururawat itu memberitahu pesakit lelaki itu sudah meninggal dunia sebelum saya masuk ke wad itu dan sedang menanti untuk dibawa ke rumah mayat,” katanya.

Berderau darahnya mendengar jawapan itu kerana menyangka lelaki tua itu sedang tidur.

“Esoknya saya dibawa ke dewan bedah dan selepas selesai saya terjaga sekitar pukul 11 malam. Suasana sunyi dan suram. Hanya kedengaran bunyi putaran kipas.

“Kepala terasa pening sebelum saya tertidur kembali… Namun saya sekali lagi terjaga apabila terdengar bunyi haiwan seperti sedang melahap daging dengan rakus. Perlahan-lahan saya membuka mata.

“Saya terkejut apabila melihat kaki saya yang berbalut sedang dilapah oleh lembaga hitam dan hanya nampak matanya sahaja yang berwarna merah,” jelasnya.

Ahmad Zairi memberitahu lembaga itu umpama makhluk rentung terbakar dan badannya membongkok sambil tangannya memegang kaki kanannya yang baharu sahaja dibedah.

Dia cuba bergerak namun tidak berdaya kerana merasakan kakinya sedang berlumuran darah dan gigi taringnya sedang mengunyah daging kakinya.

“Badan menggigil apabila melihat kerakusan makhluk itu tetapi saya tak berdaya melawan… pandangan menjadi kabur dan gelap,” ujarnya.

Keesokkan harinya, sebaik tersedar Ahmad Zairi cuba menggerakkan kakinya tetapi kesakitan dialami bukan kepalang.

Apabila menyelak selimut, dia terkejut melihat darah dan beberapa kesan cakaran namun doktor yang memeriksa berkata mungkin tidur lasak punca dia mengalami pendarahan dan balutan luka menjadi longgar.

“Ketika jururawat menukar balutan, saya ceritakan apa yang berlaku dan jururawat itu kelihatan tersenyum dan berkata ia hanya khayalan atau mimpinya sahaja.

“Namun dalam nada gurauan dia ada mengingatkan saya agar jangan bimbang kerana ‘benda’ itu tidak akan mengikutnya balik,” katanya.

Sumber: https://www.mstar.com.my/

Kelawar