Search
Search
Misteri suara budak menangis dan kereta rosak

Misteri suara budak menangis dan kereta rosak

PADA tahun 1980-an, keluarga pak cik sebelah emak aku tinggal di sekitar Bukit Besi, Terengganu. Sesiapa yang melalui jalan Jerangau-Jabor, sudah tentu tahu kawasan sekitar jalan tersebut. Pada tahun-tahun 1980-an, ia memang lengang. Keadaan lengang ini lebih terasa bila tiba waktu malam. Sunyi macam di kubur.

Pak cik aku dan keluarganya yang tinggal di kawasan Bukit Besi, yang jalan utamanya adalah Jalan Jerangau-Jabor, pernah mengalami gangguan yang menggemparkan penduduk sekitar kawasan tersebut.

Kisahnya bermula apabila sudah tiga malam keluarga pak cik aku terdengar suara budak menangis. Pada malam pertama, keluarga pak cik aku terdengar suara budak merengek.

Yang peliknya, jarak antara sebuah rumah dengan sebuah rumah yang lain, agak jauh. Rumah jiran yang paling dekat berjarak sekitar 400 meter. Kalau ada budak merengek sekalipun, mustahil suara tersebut boleh sampai ke pendengaran keluarga pak cik aku.

Kejadian budak merengek pada malam itu tidak berapa diendahkan oleh keluarga pak cik aku. Pada malam berikutnya pula, mereka terdengar lagi suara yang agak pelik. Kali ini bukan merengek, tetapi bunyi budak menangis.

Suara tersebut sangat jelas, kemudian perlahan dan terus hilang. Tidak berapa lama kemudian, suara tangisan itu terdengar kembali. Lalu pak cik dan mak cik aku keluar untuk meninjau di luar.

Berbekalkan lampu suluh, mereka mencari di sekitar rumah. Anehnya, ketika mereka mencari itu, suara tadi tidak kedengaran. Lama juga pak cik dan mak cik aku menantikan kalau-kalau suara tangisan itu berbunyi lagi. Namun, ia tidak muncul-muncul.

Disebabkan tidak ada sesiapa yang menangis di luar, pak cik dan mak cik aku masuk semula ke dalam rumah. Tapi tidak berapa lama kemudian, suara budak menangis itu kedengaran semula.

Kali ini hanya pak cik aku sahaja yang keluar rumah. Yang lain hanya menunggu di dalam. Namun puas pak cik aku mencari di sekitar rumah, jawapannya tetap hampa.

Tiada sesiapa pun di luar. Malah, suara tersebut hilang begitu saja. Hal ini menghairankan pak cik.

Bila pak cik aku masuk semula ke dalam rumah, suara tersebut kedengaran lagi. Bosan dengan apa yang berlaku, pak cik aku ambil keputusan untuk membiarkan sahaja suara tersebut. Agak lama juga suara tersebut kedengaran hingga ia hilang terus.

ESOKNYA, PAK CIK aku ke rumah jiran-jiran. Pak cik bertanyakan adakah mereka dengar apa yang keluarga dia dengar pada dua malam berturut-turut. Menghairankan, mereka tidak mendengarnya.

Jiran-jiran juga hairan macam mana boleh keluarga pak cik aku sahaja yang dengar. Satu jawapan yang boleh diterima akal adalah, kemungkinan arah suara rengekan dan tangisan itu berdekatan dengan rumah pak cik aku, dan dikira sangat jauh dari rumah jiran-jiran lain.

Pada malam ketiga, semua ahli keluarga pak cik aku berjaga-jaga dan memasang telinga lagi. Lama mereka menantikan suara rengekan atau tangisan budak malam semalam dan malam kelmarin. Namun, suara tersebut tidak muncul-muncul.

Pak cik aku beritahu kepada ahli keluarganya, mungkin malam tersebut suara budak itu sudah tidak ‘mengganggu’ mereka lagi. Bagaimanapun, ketika semua sudah tidur kecuali anak sulung pak cik yang juga merupakan sepupu aku, dia terdengar suara seakan-akan meminta tolong.

Dia mengejutkan pak cik dan mak cik aku untuk sama-sama mendengarkannya. Kali ini pak cik, mak cik dan sepupu aku mendengar satu suara.

Walaupun tidak berapa jelas dan sayup-sayup, tapi mereka tahu itu suara orang dewasa. Mungkin jaraknya sama dengan suara budak sebelum ini.

Suara tersebut tidak merengek dan tidak menangis, tetapi meminta tolong. Kali ini mereka tidak keluar rumah untuk mencarinya seperti semalam. Mereka biarkan sahaja suara tersebut.

Pak cik aku kata, mungkin ada sesuatu yang mempermainkan mereka. Setelah lama suara orang dewasa itu meminta tolong, ia hilang begitu saja.

Malam berikutnya, tidak kedengaran suara rengekan dan tangisan budak, atau orang dewasa meminta tolong. Semuanya seperti kembali normal.

Seperti biasa, pak cik aku keluar rumah untuk memastikan kereta dan vannya sudah berkunci.

Ketika hendak mengunci motosikal, tiba-tiba dia didatangi oleh seorang lelaki dalam lingkungan umur 70 tahun. Pak cik aku tidak mengenali lelaki tersebut. Dia bukan kawan pak cik, jiran atau orang yang tinggal di kawasan tersebut.

Setelah memberi salam, lelaki itu memberitahu ada dua orang yang dalam kesusahan. Kereta mereka rosak. Lelaki itu meminta pak cik aku menolong orang yang dikatakan oleh lelaki tersebut.

Setelah mendengarkan cerita lelaki itu, pak cik aku memintanya tunggu sebentar, dia ingin menukar pakaian. Pak cik segera masuk ke rumah dan memberitahu mak cik aku yang dia ingin melihat kereta rosak yang dikatakan oleh lelaki tua tadi. Pak cik mengajak anaknya iaitu sepupu aku, menemaninya.

Beberapa minit kemudian, pak cik dan sepupu aku keluar ke anjung rumah. Namun mereka mendapati lelaki yang meminta pertolongan daripada pak cik aku telah tiada.

Tak tahulah dia pergi ke mana. Pak cik aku sangka mungkin dia sudah jalan dahulu ke tempat kereta rosak tersebut. Masalahnya, lelaki tersebut tidak memberitahu pak cik, apakah jenis kerosakan yang dialami oleh kereta itu.

Pak cik yang kebetulan tahu sedikit sebanyak hal-hal kereta, menyuruh sepupu aku sediakan dua buah lampu suluh bersaiz kecil dan besar, pam angin, segelen air, segelen minyak petrol, dan peti yang mengandungi peralatan membaiki kereta.

Walaupun lelaki yang meminta jasa baik pak cik aku itu telah hilang entah ke mana, tapi pak cik aku tahu lokasi di mana kereta rosak yang dikatakan oleh lelaki tadi. Tak ada masalah.

Disebabkan lokasi kereta rosak itu agak jauh dari rumah pak cik dan dalam gelap malam, dia menuju ke tempat tersebut dengan menaiki van, berdua dengan sepupu aku.

Tetapi setiba di lokasi yang disebutkan oleh lelaki tadi, pak cik dan sepupu aku dapati tiada kereta rosak seperti apa yang dikatakan. Lelaki yang datang ke rumah pun tiada di lokasi tersebut. Dua tiga kali mereka mencari kereta tersebut, namun tidak jumpa.

Pak cik aku telah dipermainkan oleh lelaki yang tidak dikenali tadi? Tidak mungkin! Menurut pak cik, wajah lelaki tersebut redup dan tenang. Tidak ada gambaran langsung dia seorang penipu atau orang jahat.

Setelah gagal mencari kenderaan yang rosak itu, pak cik dan sepupu aku ambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah. Bagaimanapun, ketika van baru bergerak beberapa meter, sepupu aku perasan ada kesan rumput condong akibat kesan brek tayar kereta. Pak cik serta-merta memberhentikan vannya.

Sepupu aku turun dan menyusuri jejak kesan tayar kereta pada rumput di tepi jalan. Mereka terkejut kerana kesan tayar kereta itu berakhir di tepi gaung yang curam. Kedalaman gaung tersebut lebih kurang 60 meter.

Mereka berpandangan sesama sendiri. Mungkim ada kereta di dalam gaung tersebut. Ia terbabas dan menjunam ke bawah sana. Hendak turun ke bawah gaung, memang tidak mungkin! Sudahlah dalam, curamnya hampir-hampir 90 darjah!

Mereka berdua menyuluh ke bawah gaung yang penuh dengan belukar serta pokok-pokok renek. Disebabkan gaung itu dipenuhi belukar serta pokok-pokok renek, mereka tidak nampak ada kereta di situ.

Namun begitu, pak cik dan sepupu aku yakin ada kereta di bawah gaung sana. Jangan-jangan itu adalah kereta yang dimaksudkan ‘rosak’ oleh lelaki yang datang ke rumah tadi! Pak cik aku mengesyaki sesuatu.

Peliknya, kalau kereta itu terjunam ke dalam gaung, kenapa lelaki yang datang meminta bantuan kata kereta itu rosak? Kenapa dia tak cakap, ada kereta masuk gaung saja, kan senang! Kenapa perlu berbohong? Itu pertanyaan daripada sepupu aku.

Biarpun pak cik aku bersangka baik, namun sebagai orang muda, sepupu aku tetap mengatakan lelaki yang kononnya datang bagi pihak tuan punya kereta yang rosak itu, sebenarnya telah mempermainkan mereka. Apa tujuan orang tua itu berbohong, hanya dia sahaja yang tahu.

Setelah merasakan mungkin ada kereta di dalam gaung, pak cik dan sepupu aku memberitahu jiran-jiran yang berdekatan. Tidak lama kemudian, ramai penduduk di sekitar situ datang ke lokasi tersebut, diikuti oleh sekumpulan anggota polis.

Bukan sahaja pihak polis yang datang, van ambulans dan lori kren penarik kereta juga turut berada di tempat kejadian. Setelah beberapa anggota polis, penduduk kampung dan kakitangan ambulans turun ke bawah gaung, mereka dapati sebuah kereta berwarna hitam berada di situ.

Pak cik dan sepupu aku tidak ikut turun. Mereka dan ramai penduduk kampung menanti di pinggir gaung.

Setelah beberapa ketika, pak cik, sepupu aku dan penduduk kampung melihat dua tubuh dibawa naik. Seorang dewasa dan seorang budak dalam lingkungan umur tiga ke empat tahun. Dari agakan pak cik dan sepupu aku, mangsa itu telah meninggal dunia.

Pada masa itu, mangsa kemalangan yang telah meninggal dunia tidak dibungkus dengan plastik hitam seperti sekarang. Jadi, pak cik, sepupu aku dan penduduk kampung nampak dengan jelas wajah serta keadaan mangsa malang tersebut.

Alangkah terkejut pak cik aku apabila mendapati mangsa dewasa yang dibawa dari bawah gaung itu adalah lelaki yang datang ke rumah meminta bantuan tentang kereta rosak tersebut!

Pak cik menceritakan kepada orang yang berada di situ apa yang keluarganya alami dari beberapa malam lepas hingga mayat dua mangsa kemalangan tersebut ditemui. Semuanya terkejut dengan penjelasan pak cik aku.

Kalau begitu, suara lelaki yang meminta tolong semalam itu, mungkin suara lelaki malang tersebut. Suara rengekan dan tangisan pada dua malam berturut-turut yang keluarga pak cik aku dengar pula adalah suara budak yang menjadi mangsa kereta di dalam gaung.

Lebih kurang seminggu kejadian itu berlaku, seorang kawan pak cik aku memberitahunya, sebenarnya kereta yang masuk ke dalam gaung dan dua mangsanya, telah dilaporkan hilang enam hari sebelum mereka dijumpai. Mereka adalah seorang datuk bersama cucunya.

Pak cik aku terkejut. Kalau sudah enam hari, mengapa mayat kedua-dua mangsa dalam keadaan elok. Kalau ikutkan logik, mayat-mayat tersebut bukan saja sudah busuk, malah sudah berulat.

Mungkin juga mayat tersebut tidak sempurna kerana sudah dimakan oleh binatang buas. Namun kedua-dua mayat tersebut tidak menampakkan mereka telah meninggal enam hari. Kenapa?

Apabila difikirkan kembali, pak cik aku membuat kesimpulannya sendiri. Mungkin mangsa yang meninggal itu orang yang baik-baik. Sebab itulah mayatnya terpelihara.

Tetapi mungkin juga suara rengekan dan tangisan yang keluarga pak cik aku dengar, adalah memang suara budak berkenaan. Cuma orang tua yang datang ke rumah pak cik aku dan memberitahunya ada kereta rosak, itu yang menimbulkan pertanyaan…

Terpulanglah, sebab benda-benda ghaib macam ni memang susah nak diterima akal, kecuali bila kita alaminya sendiri.

Sumber: Abdul Rahman Jamil

Kelawar